Siri jelajah Jejak Rasul Edisi ke 11, bertemakan Sicupak Dari Istanbul

Saturday, September 30, 2006

Yahudi kuasai makam Nabi Ibrahim

MELIHAT sendiri Masjidil Aqsa yang tersergam di depan mata adalah pengalaman menarik krew penerbitan Jejak Rasul ketika membuat penggambaran di Palestin walaupun terpaksa berdepan dengan pemeriksaan keselamatan ketat.

Israel membuat sekatan atau menghadang jalan keluar dan masuk sesuka hati mereka sama ada menggunakan batu besar atau timbunan tanah bagi menghalang penduduk Palestin keluar masuk secara bebas.

Keadaan itu dapat dilihat dalam episod ketujuh Jejak Rasul yang memaparkan seimbas lalu kerja belakang tabir sepanjang 80 hari penggambaran di Arab Saudi, Syria, Jordan dan Baitulmaqdis.

Ketika melawat makam Nabi Ibrahim dan keluarganya di Makhpela, Hebron, krew penerbitan Jejak Rasul terpaksa melalui tiga pusat perhentian dan diperiksa rapi askar Yahudi.

Kawasan masjid Nabi Ibrahim dibahagikan kepada dua bahagian iaitu di sebelah barat menempatkan makam Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Sarah, sementara di sebelah timur menempatkan makam Nabi Ishak dan isterinya, Lea.

Lokasi makam Nabi Ibrahim dimiliki Yahudi sementara bahagian makam Nabi Ishak untuk orang Islam bagi menjaga sentimen dua kaum yang mengakui kerasulan Nabi Ibrahim.

Kisahnya, Nabi Ibrahim membeli sebuah gua di bawah Masjidil Aqsa untuk mengebumikan isterinya Siti Sarah pada harga 130,000 biji benih iaitu bersamaan dengan 400 shekal perak.

Kawasan itu kemudian dikenali sebagai makam keluarga Nabi Ibrahim tetapi tidak diketahui seluas mana gua yang dibeli kerana makam terletak di bawah masjid dan laluan ke bawah sudah ditutup.

Paparan episod kali ini membawa penonton melihat sendiri batu tergantung iaitu batu yang dikatakan mahu mengikut Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Bagaimanapun, keadaan itu tidak jelas kerana bahagian atasnya sudah disimen.

Penerbit dan Pengarah Jejak Rasul, Jasmi Shahir yang melalui pengalaman itu mengakui, peluang melihat tempat yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam menjadikan hatinya begitu sayu.

Bagaimanapun, beliau berbangga kerana kesempatan serta kejayaan membuat penggambaran di kawasan yang menjadi rebutan itu dapat dikongsi bersama rakyat negara ini.

“Kebetulan selepas menunaikan solat Jumaat, kami bertemu dengan nazir masjid dan beliau membawa kami melawat sekitar masjid termasuk tempat batu tergantung yang diceritakan ketika berlakunya Israk dan Mikraj,” katanya.

Seluruh bumi Palestin khususnya Baitulmaqdis adalah suci bagi orang Yahudi, Nasrani dan Islam kerana sebahagian besar nabi Allah yang diutuskan menghabiskan hidup serta dakwah mereka di bumi ini.

Nabi dan rasul yang membawa mesej tauhid di bumi itu mengajak bangsa Palestin dan Yahudi beriman dengan keesaan Allah, namun mereka menghadapi tentangan sengit daripada bangsa Yahudi.

Pada 25 Februari 1994, jemaah masjid berkenaan diganggu apabila seorang Yahudi yang melepaskan tembakan secara rambang mengorbankan hampir 30 jemaah dan mencederakan 300 orang.

Sejak insiden itu, pihak Yahudi mengawal ketat laluan keluar masuk ke kawasan masjid dan mereka membahagikan kawasan itu kepada dua, satu bahagian untuk masjid dan satu kawasan untuk orang Yahudi.

Sunday, November 13, 2005

Kuiz Jejak Rasul 11 hingga 21 November

PENYERTAAN Kuiz Jejak Rasul 11 anjuran Berita Harian/Berita Minggu dan TV3 dibuka sehingga 21 November ini. Penyertaan yang tiba selepas itu tidak akan diterima.

Justeru, mereka yang sudah menjawab semua 29 soalan kuiz, hantar segera jawapan hanya menggunakan borang penyertaan asli yang disiarkan dalam Berita Harian.

Penyertaan tanpa menggunakan borang asli tidak akan diterima.

Selain itu, anda perlu memberikan tema baru Siri Jejak Rasul 11 selain tema sekarang, Sicupak Dari Istanbul.

Kuiz ini menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 bagi pemenang pertama, kedua (RM7,000) dan ketiga (RM5,000). Sepuluh hadiah saguhati masing-masing bernilai RM500.

Hadiah bagi penyertaan paling kreatif pula bernilai RM1,000.

Hadiah berupa wang tunai ditaja oleh Darulfikir, pengedar al-Quran digital Al-Muneer

Tema menarik penentu pemenang

ANDA sudah mengumpul dan menjawab semua 29 soalan Kuiz Jejak Rasul 11. Jangan berlengah lagi dan hantar segera penyertaan anda untuk diadili bagi memenangi hadiah wang tunai yang semuanya bernilai RM28,000.

Pemenang berdasarkan jawapan betul yang paling banyak. Jika ada lebih seorang yang dapat berbuat demikian, pemenang akan ditentukan berdasarkan ciptaan tema yang paling menarik, kreatif dan tepat bagi siri Jejak Rasul 11.

Justeru, dalam kuiz kali ini, anda perlu mencipta satu tema yang lain daripada ‘Sicupak dari Istanbul’ untuk Jejak Rasul 11.

Tema itu mesti asli dan bukan berdasarkan tema sebelumnya atau diceduk daripada siri lain.

Bagi memandu anda mencari tema sesuai, paparan berikut boleh dijadikan panduan.

Siri Jejak Rasul 11 meneruskan pencarian sejarah umat di bumi Anatolia hingga ke Nusantara.

Pengembaraan Jejak Rasul 11 membawa penonton mengenali meriam Turki yang digunakan angkatan Uthmaniyah dan diakui kehebatannya sehingga boleh memecahkan pintu kota Constantinople.

Dalam siri itu, turut dipaparkan kisah Sultan Aceh, Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar yang menghantar perwakilan dengan kapal bermuatan lada ke Turki untuk mendapatkan bantuan kerajaan Uthmaniyah menentang penjajah Portugis serta Belanda.

Kewujudan tinggalan sejarah yang menjadi destinasi pelancongan atau bukti pencapaian ilmuwan Islam seperti Masjid Sultan Ahmet.

Begitu juga dengan sejarah Constantinople yang hilang nama dan identiti sebagai pusat Kristian Bizantian, setelah tentera pimpinan Sultan Muhamad Al-Fateh menawan kota itu dan menamakannya Istanbul.

Lebih menarik, Jejak Rasul 11 menceritakan semula bagaimana kuatnya pertahanan empayar Uthmaniyah dalam Perang Cannakale yang meletus pada 3 November 1914 apabila British dan Perancis bersekutu menyerang bumi Turki.

Di sebalik bahan bukti, turut diselitkan falsafah seperti bagaimana semangat perpaduan dan persaudaraan kerajaan Turki berjaya meluaskan pengaruh empayar Uthmaniyah keluar dari bumi Anatolia.

Jejak Rasul 11 turut memaparkan sejarah dan tamadun perkembangan Islam di benua Afrika seperti di Ethopia dan Eritrea serta Asia, termasuk India, China, Jepun dan Korea.

Jika anda sudah menjawab semua soalan dan melengkapkan tema baru Jejak Rasul 11, apa lagi, hantar segera jawapan menggunakan borang penyertaan yang disiarkan dalam ruangan Agama, Berita Harian ke Kuiz Jejak Rasul 11 Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Sri Pentas, 3 Persiaran Bandar Utama 47800 Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan.

Saturday, November 05, 2005

Hantar jawapan segera

PEMBACA setia Berita Harian yang sudah melengkapkan jawapan bagi 29 soalan dalam Kuiz Jejak Rasul 11 boleh menghantarkan jawapan sekarang.

Dengan menggunakan borang penyertaan kuiz yang disiarkan dalam akhbar ini, anda berpeluang memenangi wang tunai yang semuanya berjumlah RM28,000.

Hadiah pertama menawarkan wang tunai RM10,000, kedua (RM7,000) dan ketiga (RM5,000). Sepuluh hadiah saguhati masing-masing bernilai RM500.

Hadiah bagi penyertaan paling kreatif pula bernilai RM1,000.

Pembaca boleh menghantar sebanyak mana penyertaan dengan syarat menggunakan borang asli.

Bagi hadiah kreatif, ia berdasarkan penyertaan paling kreatif. Anda boleh melakukannya dengan banyak untuk memenangi hadiah ini. Apa yang penting ia kreatif, menarik, asli dan lain daripada yang lain.

Jangan berlengah lagi, hantar jawapan anda segera supaya tidak terlepas peluang merebut hadiah ditawarkan.

Jejak Rasul 11 imbau keagungan sejarah Islam silam

JEJAK Rasul 11 dengan tema Sicupak dari Istanbul membawa penonton setia TV3 mengimbau dan menjejak kisah silam sejarah ketamadunan Islam merentasi benua Asia, Afrika hingga ke Eropah.

Sepanjang Ramadan lalu, selama 29 episod, penonton kini mengetahui banyak perkara mengenai sejarah dan ketamaduan Islam, terutama di Afrika yang mungkin tidak pernah diketahui sebelum ini.

Paparan setiap episod kurang setengah jam, tetapi penyelidikan dan pengembaraan krew Jejak Rasul 11 mengambil masa lebih empat bulan.

Dalam tempoh empat bulan penggambaran berkenaan, dua pasukan bertanggungjawab melengkapkan dokumentari Jejak Rasul 11 yang diketuai Wan Alias Abdullah sebagai penerbit yang menjadi penggerak utama menentukan lokasi serta kesesuaian visual.

Kumpulan A dianggotai pengarahnya Jasmi Shahir dengan dibantu Muhammad Amin Yusoff (wartawan/penulis skrip), Mohd Zahir Ramli (pembantu penerbitan) dan Mohd Shahril Ramli (jurukamera).

Kumpulan B pula didukung Nasir Yusof (pengarah), Mohd Naim Niamat (wartawan/penulis skrip) dan Syed Nor Kamali Syed Abdul Rahman Mohd Ali Othman (jurukamera). Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara.

Pasukan pertama memulakan penggambaran pertengahan Julai dan berakhir awal September manakala kumpulan kedua memulakan penggambaran pada Ogos dan tamat pertengahan September.

Banyak pengalaman pahit getir dan suka dihadapi ketika penggambaran di negara orang itu.

Selama tiga bulan berada di Aceh, krew Jejak Rasul 11 tidak banyak berhadapan dengan masalah mencari makan berbanding di tujuh negara lain. Ada kalanya krew terpaksa berlapar pada waktu siang.

Mereka hanya menikmati makanan untuk mengumpul tenaga selepas penggambaran berakhir. Itu pun terpaksa memasak sendiri hidangan daripada bekalan yang dibawa.

Selain masalah makanan, faktor bahasa serta sikap sesetengah penduduk tempatan yang tidak menyenangi kehadiran orang luar ada kalanya menyukarkan proses pengumpulan fakta.

Jejak Rasul berdasarkan kepada fakta dan maklumat tambahan berkaitan sejarah silam yang sesetengahnya perlu dicungkil daripada penduduk tempatan yang lebih arif mengenai sejarah negara mereka.

Bagi jurukamera pula, keadaan cuaca sepanjang penggambaran antara cabaran paling sukar dilupakan apabila berhadapan dengan diganggu ribut pasir menyebabkan penggambaran terganggu.

Bagaimanapun, mereka tetap pasrah dengan gangguan alam. Tetapi, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk menghasilkan dokumentari menarik serta padat fakta untuk dipersembahkan kepada penonton setia program berkenaan.

Di sebalik malapetaka yang menggegar bumi Aceh akibat bencana ombak besar tsunami yang menamatkan kehidupan ratusan ribu nyawa pada 26 Disember tahun lalu, rupanya ada rahmatnya tersembunyi untuk krew Jejak Rasul 11.

Pintu Tanah Rencong itu terbuka luas untuk mereka setelah 10 tahun menanti keizinan membuat penggambaran di serambi Makkah yang menyimpan sejarah Islam terawal di Asia Tenggara.

Selain menjejaki sejarah Islam masa lalu, krew penerbitan tidak lupa berkongsi cerita dan derita warga Aceh yang menjadi mangsa tragedi tsunami serta ketabahan mereka meneruskan hidup.

Tidak lengkap rasanya tidak membicarakan rahsia di sebalik tema Jejak Rasul 11, Sicupak dari Istanbul, iaitu nama diberikan kepada meriam Turki yang menjadi penghubung antara kerajaan Aceh dengan empayar Uthmaniyyah Turki.

Apabila membuat penggambaran Jejak Rasul untuk siaran sepanjang Ramadan, krew Jejak Rasul akan berurusan dengan pegawai kedutaan Malaysia di negara yang dikunjungi.

Antara mereka, ada yang tidak dapat pulang ke tanah air untuk menyambut kemeriahan kedatangan Syawal dan krew Jejak Rasul sempat merakamkan ucapan hari raya pegawai tinggi kedutaan Malaysia.

Memetik kata-kata akhir siri itu: “Kisah meriam Sicupak dari Istanbul inspirasi kepada pencarian Jejak Rasul tahun ini umpama helaian yang berselerakan di laluan umat sepanjang lima kurun lalu.

“Kami sekadar pengembara yang tidak jemu mengutipnya, menyusun seindah mungkin untuk dikongsi dan diraikan bersama.”

Wednesday, November 02, 2005

Tentera Turki sebar nur Islam di Korea

SEPANJANG Ramadan ini, penonton setia TV3 disajikan dengan sejarah perkembangan Islam silam melalui siri Jejak Rasul musim ke-11 dengan tema, Sicupak dari Istanbul.

Jejak Rasul 11 menyusuri sebahagian negara Asia termasuk Aceh di Indonesia, Turki, Cyprus Utara, Eriteria di Ethiopia, Pulau Socotra di Yaman, serta Jepun dan Korea bagi menjejaki sejarah peninggalan Islam yang amat bermakna.

Selain menjejaki peninggalan sejarah awal Islam, beberapa penemuan terbaru ditemui krew Jejak Rasul 11 seperti di Aceh, khususnya di Perlak dan Pasai, selain perdagangan, dakwah turut berkembang melalui ikatan perkahwinan.

Pemerintah dulu termasuk sultan memang mempunyai kaitan keturunan dengan pendakwah Islam yang juga daripada keturunan Rasulullah yang kemudian berkahwin dengan puteri raja.

Hasilnya semua sultan Aceh ada kaitan dan hubung kait dengan keluarga Rasulullah.

Kisah di Turki dan Cyprus Utara pula bertumpu kepada Empayar Uthmaniyah yang mempunyai pengaruh besar dalam sejarah Kesultanan Aceh yang berjuang mempertahankan kedaulatan agama dan kerajaannya.

Kejayaan Sultan Uthmaniyah, Sulaiman yang Agung dan hidup sezaman Sultan Aceh memberi inspirasi kepada Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar untuk mengukuhkan empayarnya.

Manakala Eritrea yang baru saja mendapat kemerdekaan daripada Habsyah pada 1993, banyak menyimpan sejarah Islam.

Eritrea adalah negeri pertama menerima Islam dan hijrah sahabat Rasulullah.

Pulau Socotra di Yaman pula mempunyai keunikannya kerana pokok yang dikenali sebagai dammul akhawain atau pokok darah dua saudara yang tumbuh sejak jutaan tahun lalu dan masih subur hingga sekarang.

Perkembangan Islam di Jepun pula bermula apabila Maharaja Meiji menjemput Kerajaan Uthmaniyyah menghantar pendakwah Islam ke sana untuk mengembangkan sinar Islam pada kurun ke-19.

Maharaja Meiji ketika itu mengamalkan kebebasan beragama dan tujuannya menjemput Kerajaan Uthmaniyyah untuk memberi peluang kepada rakyatnya memilih mana yang baik.

Korea adalah negara yang paling lambat menerima perkembangan Islam melalui tentera Turki yang dihantar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika peperangan Korea.

Apabila berada di Korea, mereka mendirikan musalla dan masjid menggunakan khemah yang dibekalkan dalam peperangan dan sejak itu, sinar Islam bertapak sedikit demi sedikit di Korea.

Monday, October 31, 2005

Siri 27 : Beijing simpan khazanah Islam terulung

BEIJING yang turut dikenali sebagai Kota Larangan menerima kedatangan Islam sejak 1,000 tahun lalu dan kini dianggarkan bilangan umat Islam di bandar itu mencecah 250,000 orang daripada lebih 11 juta penduduknya.

Niu Jie pula bukan saja pusat perdagangan, malah turut popular di kalangan umat Islam tempatan untuk mendapatkan sumber makanan halal. Lebih penting, ia pusat perkembangan agama Islam.

Masjid Niu Jie yang dibina pada 996 ketika era pemerintahan Dinasti Song, tidak pernah susut daripada kunjungan jemaah yang terkenal berpegang teguh pada akidah Islam. Lebih 20,000 jemaah membanjiri masjid itu untuk mendirikan solat Jumaat.

Tulisan ayat suci al-Quran bertatahkan warna merah, emas dan beberapa warna lain memenuhi segenap ruang masjid tertua di Niu Jie dengan motif yang sama juga boleh dilihat pada lebih 35,000 masjid seluruh China.

Masjid Niu Jie yang digelar Li Bai Si, bermaksud gedung solat dibina di atas tapak seluas 6,000 meter persegi turut menempatkan kemudahan kelas agama, pejabat pentadbiran dan bilik wuduk.

Di situ juga ada dua makam lama dipercayai berusia lebih 700 tahun dipercayai tempat persemadian dua tokoh pendakwah, satu daripadanya milik Syeikh Ahmad al-Bartani yang banyak menyumbang kepada perkembangan Islam di Beijing.

Masjid Xia Taoyuan, satu di antara enam masjid utama di Selatan Shanghai menjadi nadi perkembangan Islam. Ia dipercayai mula berkembang apabila Shanghai membuka pintu perdagangan kepada dunia luar.

Krew Jejak Rasul ke Kashi atau Kashgar di Xinjiang, wilayah autonomi masyarakat Islam Uygur.

Kashgar dihuni lebih 200,000 penduduk daripada 30 suku kaum. Menjadi dasar Kerajaan China mengamalkan kebebasan kepada semua suku kaum untuk mengamalkan agama, budaya dan bahasa mereka.

Kampung Upoor dalam wilayah Shi Fu, 50 kilometer dari Kashgar menempatkan makam tokoh terkenal Uygur, Mehmud Kashgarli yang dilahirkan di Kashgar pada 1008.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mengembara hampir ke seluruh rantau Asia tengah untuk mengkaji bahasa, budaya dan sejarah pelbagai suku kaum. Beliau kemudian berhijrah ke Baghdad bagi mendalami ilmu bahasa.

Ketika itulah beliau mengarang karya masyhur iaitu kamus bahasa Turki ditulis dalam bahasa Arab.

Selain kamus, Kashgarli menghasilkan manuskrip dalam bidang sastera, budaya, astronomi, geografi dan biologi yang turut menjadi rujukan utama ahli akademik.

Kashgarli kembali ke pangkuan masyarakat pada 1080 selepas 23 tahun berkelana mencari ilmu di kota Bahgdad, Iraq.

Di tanah kelahirannya, Kashgarli menabur jasa selama 25 tahun sehingga meninggal dunia pada 1105, ketika berusia 97 tahun.